Setiap minggu kedua dalam bulan Mei, anak-anak Malaysia akan menghargai ibu-ibu mereka dengan pelbagai cara. Ada sebilangan anak-anak dapat meraikan ibu mereka dengan penuh kemeriahan, tak kurang juga yang meraikan sambutan Hari Ibu dalam linangan air mata.
Sama ada sambutan itu dirai dengan penuh gembira atau sebaliknya, nilai murni yang terkandung di dalamnya memberi makna yang cukup besar kepada setiap insan. Seharusnya menghargai ibu tidak hanya dilaksanakan dalam tempoh-tempoh waktu yang tertentu, namun dengan terciptanya Hari Ibu ia membuatkan ibu-ibu kelihatan cukup istimewa sekali.
Mengapa tidak digunakan saat itu dengan sebaik-baiknya untuk merasai betapa kasihnya ibu sepanjang mengandungkan, saat menempuh kesakitan tatkala proses kelahiran dan tingginya kesabaran selama membesarkan anaknya itu. Isu kali ini menemu bual beberapa orang ibu yang tugasnya bukan sahaja membesarkan anak-anak sendiri, malah mendidik anak-anak orang lain agar mereka dapat menjadi insan yang berguna di kemudian hari. Ikuti juga bagaimana tabahnya seorang ibu membesarkan dua orang anak-anaknya yang mengalami Spinal Muscular Atrophy Type 2.
Hati tersentuh bila dirai
Kisah Sharipah atau Mak Pah, penyelia Rumah Titian Kasih yang terletak di Tasik Titiwangsa harus dihayati. Wanita berusia 52 tahun ini telah lama menganggap Rumah Titian Kasih bagai rumahnya sendiri. Penghuni di dalam rumah ini yang terdiri daripada anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal juga menganggap Mak Pah bagaikan ibu dan saudara. Susah senang, Mak Pah tidak semuanya dapat diluahkan kepada anak-anak ini. Dalam pada membesarkan anak-anak ini pasti salah satu daripada kata-katanya yang mengguris hati mereka. Maklum sahajalah mereka ini ramai bilangannya bukan semua perkara dapat Mak Pah tangani sendirian. Tetapi Mak Pah lebih senang membuat pendekatan psikologi.
Mak Pah tidak terus ‘menyerang’ jika tidak berpuas hati dengan anak-anak di sini. Sebaliknya Mak Pah pelajari dan fahami terlebih dahulu perangai setiap seorang anak-anaknya itu. Kemudian, barulah Mak Pah sesuaikan dengan bentuk teguran yang akan Mak Pah berikan. Rahsia penjagaan Mak Pah cuma satu iaitu kasih sayang dan peluk cium. Itulah yang Mak Pah terapkan sepanjang menerajui anak-anak yang berlindung di rumah ini. Dua tahun lalu kepayahan Mak Pah dibalas oleh anak-anak yang menghuni rumah ini. Pada suatu malam Jumaat di bulan Mei, Mak Pah dan ibu-ibu yang tinggal di situ dilarang melakukan kerja-kerja harian. Mereka hanya perlu duduk dan berhibur dengan acara kejutan yang dirancang oleh anak-anak di rumah itu. Malam itu juga mereka dihiburkan dengan persembahan ‘slideshow’ yang disediakan sendiri oleh anak-anak itu. Tidak cukup dengan itu, anak-anak menghidangkan makanan istimewa untuk ibu-ibu yang mereka kasihi.
“Saya tidak menyangka yang anak-anak ini mempunyai kesungguhan dan boleh membuat persembahan yang boleh saya katakan hebat. Tak sangka pula mereka ini berbakat sekali. Dalam persembahan itu diselitkan pantun humor yang menerangkan satu persatu perwatakan ibu-ibu di rumah ini, “Kami juga diberikan hadiah kerongsang buatan mereka sendiri, tetapi hadiah itu tidak penting pun. Masing-masing di rumah ini tiada ibu, jadi apabila mereka berbuat demikian terasa mereka menerima saya sebagai ibu mereka. Keadaan itulah yang telah menyentuh hati saya,” ujarnya ketika dihubungi.
Hari ini tradisi sambutan Hari Ibu kekal menjadi agenda kejutan untuk penghuni rumah itu. Mak Pah sendiri ternanti-nanti apakah yang akan disediakan oleh anak-anak ini untuk tahun ini. Yang lucunya, jika anak-anak ini memerlukan bantuan peralatan mereka akan meminta daripada Mak Pah. “Dalam pada hendak membuat kejutan itu, ada juga sedikitsedikit kejutan yang terbongkar,” tambah Mak Pah geli hati.
Tanda diri diterima sebagai ibu
“Sebelum-sebelum ini tidak pernah diadakan sambutan Hari Ibu di sini. Sehinggalah pada tahun lepas, anak-anak yang menghuni rumah ini menyambutnya dengan memberikan saya sekeping kad Hari Ibu yang mereka hasilkan sendiri. Sebenarnya itulah kejutan yang cukup mengharukan hati saya,” cerita Ustazah Hafsah Thosam, isteri penyelia Pusat Jagaan Baitul Islah Kota Raja, Shah Alam yang menyelia kira-kira 41 remaja perempuan bermasalah.
“Sungguh saya tidak tahu rancangan anak-anak ini. Apabila mereka menghargai saya begitu saya merasakan yang anak-anak ini telah menerima dan menganggap saya seperti ibu mereka sendiri, “Mendidik anak-anak di sini cukup menguji kesabaran. Maklumlah masingmasing dari latar belakang yang berbeza dan mempunyai masalah yang tersendiri. Ada yang lari dari rumah, ada yang mengandung dan tidak kurang pula yang berani memukul ibu ayah sendiri. “Ketika mereka mula-mula masuk ke rumah ini, mereka tidak dapat menerima keadaan itu. Kadangkala perangai mereka yang keterlaluan membuatkan saya berang hingga menitiskan air mata. Namun, selepas lima enam bulan barulah mereka dapat belajar dan memahami siapa diri mereka sebenar,” kata ibu kepada dua orang anak ini.
Tanggungjawabnya di rumah ini juga meletakkannya dalam dua situasi. Yang mana, anak-anak yang baru masuk akan menganggap dirinya sebagai individu yang memisahkan kasih ibu dan anak. Berjauhan dari ibu mereka juga membuatkan anak-anak yang baru ini terpaksa bersaing dengan ‘senior’ mereka untuk menawan hatinya. Malah ada di antara mereka yang merasa rendah diri disebabkan ‘kenakalan’ mereka itu. Justeru, mereka merasakan ibu baru (ustazah) memandang serong dan sukar untuk mendekati mereka.
“Secara peribadi saya tidak memandang luaran mereka. Saya melihat mereka sama sahaja, jika saya peluk seorang, yang lain akan saya peluk juga. Mereka saya anggap bagaikan anak sendiri dan tidak sesekali saya menilai mereka berdasarkan kekayaan, kesalahan mahupun apa sahaja. Malah saya pula yang merasakan saya sentiasa tidak cukup memberi kasih sayang saya pada mereka,” tambahnya lagi. Tidak dinafikan ada kalanya dirinya sedikit terganggu dengan emosi. Sebelum mengambil keputusan menjadi ibu kepada anak-anak remaja bermasalah ini, dia telah pun menetapkan matlamat yang dirinya akan menjadi seperti yang diinginkan. Jika dirinya dilanda masalah dan kurang bersemangat dia kembali mengenangkan masalah-masalah yang lebih besar yang dihadapi oleh anak-anaknya itu.
“Saya mahu menjadi ibu yang sentiasa bersedia. Jika saya sedih, jumpa anak-anak saya perlu jadi lebih kuat. Pada saya masalah mereka lebih besar dan lebih sukar lagi. Saya akan meletakkan diri saya dalam situasi anak-anak ini. Jauh keseorangan di sini, jauh dari ibu bapa dan bagaimana saya dapat lakukan untuk menawan hati mereka, “Kakak-kakak yang lebih ‘senior’ di sini pun pandai menawan hati saya. Jika mereka nampak saya sedih, adik-adik akan diberi peringatan siap-siap agar tidak mengganggu saya. Saya cukup bersyukur, walaupun anak-anak ini telah melangkah jauh meninggalkan rumah ini mereka masih lagi mengingati dan menghubungi saya. Malah jika saya tidak makan, mereka akan pesan kepada yang lain-lain untuk tengok-tengokkan saya.
“Ada pula seorang ibu yang memberitahu anaknya lebih mengingati diri saya berbanding dirinya. Tetapi dia tidaklah marah, tempoh yang panjang di sini membuatkan kami bagaikan sebuah keluarga,” ungkapnya ramah. Dia mengharapkan agar anak-anak ini dapat menyambung tugasnya apabila telah keluar dari rumah ini kelak. Alumni yang keluar seharusnya dapat menjadi pembimbing rakan sebaya yang berpesan-pesan kepada kebaikan. Walaupun ia tidak dapat dilaksanakan dalam kelompok yang besar, sekurang-kurangnya ia dapat dilaksanakan dalam kelompok yang kecil. “Dahulu saya asyik mencari wang yang banyak. Selepas saya menjadi ibu kepada anak-anak ini saya merasakan masa saya sangat pendek. Semoga Allah meneguhkan hati dan iman saya untuk menjadi ibu kepada anak-anak ini sampai bila-bila,” ujarnya menutup bicara.
Kredit Dari SINI
0 comments:
Post a Comment
KERATAN NOTIS
1. Sila Komen Dalam Bahasa Melayu / Ingelish Yang Mudah Difahami
2. Tinggalkan Alamat Blog / Email Jika Perlu
SEGALA KOMEN YANG DITULIS ATAS TANGGUNGJAWAB ANDA SENDIRI. PEMILIK AJTR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEBARANG KOMEN YANG DITULIS OLEH PEMBACA DI AJTR INI.