I've NEVER led a PERFECT life . There have been UPS and DOWNS , and there were times when SUPERFICIAL people tried to BREAK me .. Blog ini bersifat Universal .. If anyone we're offended by my words , a thousand apologize .. But again.Its my blog and my right to say anything .. A THOUSAND THANK YOU FOR THOSE WHO ARE VISITING MY BLOG ..

MAAF , KERANA BLOG INI MENGGUNAKAN LOGHAT SABAH ..

PROFIL PERDANA MENTERI MALAYSIA



Perdana Menteri Malaysia adalah ketua kepada pemerintahan Negara Malaysia. Secara rasmi beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja Malaysia, dan biasanya pemimpin parti politik terkuat dalam Parlimen (Dewan Rakyat). Sejak kemerdekaannya pada 1957, semua Perdana Menteri berasal dari UMNO, parti terbesar dalam Barisan Nasional (dikenali sebagai Perikatan hingga pilihan raya 1969).

Ada kekhuatiran bahawa kaum Melayu, baik dari UMNO mahupun Parti Islam Se-Malaysia (PAS), akan melarang seorang bukan-Bumiputera (misalnya dari etnik Tionghua) dari menjadi Perdana Menteri, namun Pemerintah telah berulang kali meyakinkan para rakyat bahawa perlembagaan Malaysia tidak mewajibkan seorang Perdana Menteri seorang Bumiputera.


Perdana Menteri Malaysia Pertama

Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
"Bapa Kemerdekaan"
1957–1970.

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

Kehidupan peribadi

Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Pendidikan

Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.

Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.

Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.

Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.

Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.

Keluarga

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di [[Kedah]. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Kerjaya Politik

Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.

Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan Kemerdekaan

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Sebagai Perdana Menteri

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.

Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.

Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.

Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.

Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kegiatan Islam

Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.

Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.

Kehidupan Kemudian

Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.



Perdana Menteri Malaysia Kedua

Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein
"Bapa Pembangunan"
1970–1976

Allahyaraham Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (1971)(NEP) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".

Kehidupan Peribadi

Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang.

Abang ipar Abdul Razak, Tun Hussein Onn, ialah penggantinya sebagai Perdana Menteri ketiga. Anak sulungnya, Dato' Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam menggantikan Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada tahun 2009. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.
Pendidikan

Sejak di sekolah rendah lagi, Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.

Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Abdul Razak bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II.

Selepas peperangan, Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut di England, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK), dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden kesatuan itu. Bersamping itu, Abdul Razak juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut Malaya. Pada tahun 1950, Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London.

Kerjaya

Selepas kepulangannya, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam Malaya dan bergiat dalam bidang politik. Disebabkan keupayaan politiknya, beliau dilantik menjadi ketua pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu UMNO. Dua tahun kemudian, Abdul Razak berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pahang dan kemudian, pada Februari 1955, beliau menjadi Pemangku Ketua Menteri Pahang sewaktu berumur hanya 33 tahun.

Selepas memenangi pilihan raya umum yang pertama di Malaya pada Julai 1955, Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Abdul Razak juga menyertai misi Februari 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan Malaya daripada pihak British.

Selepas pilihan raya umum 1959, Abdul Razak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar di samping memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri Malaysia Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan Menteri Pertahanan. Pencapaian-pencapaiannya yang utama termasuk perumusan dasar pembangunan yang dikenali sebagai "Buku Merah".

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, puaknya di dalam UMNO menggulingkan Tunku Abdul Rahman serta mengisytiharkan Keadaan Darurat dan beliau memerintah melalui dekri sehingga 1970. Pada 22 September 1970, Abdul Razak mewarisi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Abdul Razak termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEP) pada tahun 1971. Beliau dan "generasi kedua" ahli-ahli politik Melayu memperlihatkan keperluan untuk mengendalikan ketaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman. DEP menetapkan dua sasaran yang asas, iaitu mengurangkan dan pada akhirnya: menghapuskan kemiskinan dan menghapuskan pengenalpastian fungsi ekonomi dengan kaum.

Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 sebagai gantian untuk Parti Perikatan. Beliau menambahkan ahli-ahli parti untuk mengasaskan apa yang dikatanya "Ketahanan Nasional" melalui kestabilan politik.

Disebabkan sebahagian oleh penyakit leukemia, Abdul Razak meninggal pada tahun 1976 sewaktu mendapat rawatan perubatan di London, dan disemadikan di Makam Pahlawan, berdekatan dengan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Selepas kematiannya, beliau dianugerahkan dengan gelaran Bapa Pembangunan.


Perdana Menteri Ketiga

Tun Hussein bin Dato' Onn
"Bapa Perpaduan"
1976–1981

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

ASAL USUL

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menerima pendidikan awal di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Malangnya pendidikan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn tidak dapat diteruskan selepas menamatkan Senior Cambridge kerana meletusnya Perang Dunia ke II.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn terus menyertai Pasukan Tentera Johor (Johor Military Forces) dan menjalani latihannya di Maktab Tentera Sandhurst di Dehra Dun, India dan setelah ditauliahkan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menyertai Regimen Hyderabad ke 19. Perkhidmatan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn sebagai Kapten tentera membawa beliau ke Mesir, Syria, Palestine, Iran dan Iraq.

Bermula tahun 1942 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya.

Dari Madras Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun. Apabila Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kembali ke Tanah Melayu dan memulakan tugasnya sebagai Pemerintah Polis Depot, di Johor Bahru.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa.

Kemudiannya Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menjadi ahli Perkhidmatan Pentadbiran Melayu. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dihantar ke beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah. Semangat Allahyaraham Datuk Onn b Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn untuk bersama bapanya menentang Malayan Union.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudian menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila ayahandanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Allahyaraham Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO. Disamping penglibatannya dalam politik, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1950 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Walau bagaimanapun penglibatan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila Datuk Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudianya menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya meninggalkan alam politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus pada tahun 1958. Sekembalinya ke tanah air Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu beliau telah pun berumah tangga dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Hj Mohd Noah dan mempunyai 6 orang anak.Ibarat sireh pulang ke ganggang beliau menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Yang DiPertua UMNO pada tahun 1964.

Pada Jun 1969 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Walaupun Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah lama menghilangkan diri dari arena politik, tapi UMNO yang mempunyai kepercayaan atas kebolehan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah sahaja pada Mei 1969.

PENDIDIKAN

English College Johor Bahru hingga lulus Senior Cambridge. 1940 - Masuk Maktab Tentera di Dehra Dunn, India. 1958 - Lulus Ijazah Undang-undang dari Lincoln's Inn, London.

KERJAYA POLITIK

Hussein Onn yang berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan akar politik yang mendalam, kemudian meletakkan jawatan perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Bagaimanapun, Hussein Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951 untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh ayahandanya.

Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Hussein Onn pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau pulang ke Malaya sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.

PERANAN DAN SUMBANGAN

Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Perdana Menteri Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Di bawah pentadbiran Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973, merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Kepulangan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein ke Rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan seluruh negara. Berikutan itu dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada 1978 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

Ketika menjadi Perdana Menteri Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein khususnya dalam menggerakkan 'Dasar Ekonomi Baru'. Sebagai seorang perwira, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn fasih tentang hal ehwal keselamatan. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi rantau Asia Tenggara ketika itu gempar ekoran jatuhnya Vietnam Selatan ke tangan komunis dan termashyurnya cita-cita 'Teori Domino' komunis.

Semasa pentadbirannya usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan di bandar-bandar semasa tempoh darurat, telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan (intelligen) yang berjaya. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang melayari Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi.

Dasar-dasar dan program-program yang diketegahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Walaupun pada masa itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn berjaya mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pernah menjalani rawatan jantung pada awal 1981. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn berjaya melancarkan Rancangan Malaysia yang ke 4 pada bulan April 1981.

Seperti bapanya, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara. Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil politik dan ekonominya.

Sumbangan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh. Akibat kesihatan beliau yang merosot, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohamad pada 18 Julai 1981. Tetapi beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS.

SELEPAS PERSARAAN

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Tun Hussein juga menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.

Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan Tun Hussein dengan Dr. Mahathir menjadi buruk, dan beliau menyokong 'Team B' bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, Tun Hussein dan Tunku menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Mahathir.

Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Tun Hussein mempunyai dua anak lelaki serta empat anak perempuan. Isterinya Toh Puan Suhaila Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 30 Mac 2004, anak lelakinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, menjadi Menteri Pelajaran Malaysia. Kemudian selepas Permulaan pentadbiran Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Dato' Seri Hishamuddin dilantik pula sebagai Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya, anak perempuan sulungnya, Datin Roqiyah Hanim, meninggal di Kuala Lumpur pada 17 September 2005 sewaktu berumur 56, kerana menghidap penyakit barah payu dara.

KEISTIMEWAAN

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal-ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman ketenteraan menjadikan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memberi kebebasan akhbar dan majalah untuk memberi kritikan dan komentar dengan harapan ini akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur dan beliau disanjungi oleh masyarakat Malaysia sebagai seorang pemimpin. Dalam sejarah, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai 'Penyambung Warisan Yang Terbilang'.

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn juga dikenali sebagai 'Bapa Perpaduan' kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya, mewarisi program pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia. Malah Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pula mewariskan kerajaan kepada Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan UMNO dalam keadaan yang begitu kukuh. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 dalam usia 68 tahun di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara. Tun Hussein Onn kini dikenang sebagai Bapa Perpaduan bagi mengenangkan segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di negara ini.


Perdana Menteri Keempat

Tun Dr. Mahathir Mohamad
"Bapa Pemodenan"
1981–2003

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (dilahirkan pada 20 Disember 1925; juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det) adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui pemeliharaan suatu golongan pertengahan orang Melayu. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang suka berterus-terang dan bersifat kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).

Dr Mahathir telah dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC).

Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Pada Jun 2005, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara.

LATAR BELAKANG

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det dilahirkan pada 20 Disember 1925, di Kedah. Beliau merupakan anak bongsu daripada 9 adik-beradik, keluarga Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi. Ayahnya, Mohamad Iskandar, adalah berbangsa India, anak kepada seorang Malayalee Muslim (yang berasal dari [Kerala], India) dan ibunya berbangsa Melayu. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah laki-laki melayu di seberang Perak, Alor Setar untuk tempoh 2 tahun sebelum menyambung di sekolah kerajaan beraliran Inggeris di Alor Setar iaitu di Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.


Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui peningkatan golongan miskin menjadi golongan pertengahan orang Melayu begitu ketara. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan tidak dapat lari dituduh bersifat kronisme seperti pemerintah-pemerintah lain di dunia.


Beliau juga merupakan seorang tokoh politik penting antarabangsa yang suka berterus-terang dan disifatkan kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).


Dr Mahathir telah bertanggungjawab dengan apa yang dipanggil pembangunan projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC), yang akhirnya menjadi lambang kemegahan rakyat dan diterima ramai.


Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Seperti dijangka pada Oct 2003, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia atas jasanya yang teramat besar pada nusa dan bangsa. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

PENDIDIKAN

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES), kini Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1932.

Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge) di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.

Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

KERJAYA POLITIK

Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.

Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September 1969, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.

Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya.

Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.

Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi . Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2008 pada Mac 2009, Dr Mahathir menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan. Dr Mahathir kembali menyertai UMNO .Nombor ahli 0000001 dikekalkan.

KESIHATAN

Pada 24 Januari 1989 Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), Kuala Lumpur.

Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana serangan jantung setelah saluran darah arteri tersumbat.

Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Langkawi selepas kesukaran bernafas pada jam 4.00 petang.

Pada 4 September 2007, Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN selama 5 jam. Pembedahan diketuai pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathooth, Datuk Dr. Azahari Yakub, Datuk Dr. Venugopal Balchand, Datuk Ezani Mohd. Taib dan Ketua Pakar Bedah Kardiologi Klinik Mayo di California, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Hartzell Schaff. Ini merupakan pembedahan saluran darah arteri kali ke-2.

Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN jam 7.00 pm. Ketika itu beliau berusia 82 tahun.

Malam 2 Oktober 2010, di Melbourne, Australia, Tun Dr Mahathir telah dimasukkan ke Hospital Epworth akibat sakit batuk dan selesema. Kemasukan beliau ke hospital tersebut disahkan oleh pegawai khasnya, Sufi Yusof. Dr Mahathir pergi ke Melbourne bertujuan untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne.


KRISIS PERLEMBAGAAN

Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada dibawah bidang kuasa mereka.

Pada tahun 1988, apabila UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung, Mahathir dipercayai merencanakan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan tiga orang lagi hakim Mahkamah Agung yang cuba untuk menghalang kes tersebut. Siri insiden 1988 ini dilihat sebagai titik hitam sejarah perundangan negara Malaysia yang sepatutnya bebas dari campur tangan pihak eksekutif.Mahathir selaku ketua badan eksekutif telah mencampuri urusan badan kehakiman ketika itu.

PEMECATAN ANWAR IBRAHIM

Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar sebenarnya korupsi dan nepotisme dan cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.

Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai "Gerakan Reformasi" dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walaubagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti-parti pembangkang di Malaysia.

KELUAR UMNO

Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO[3]. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Dr Mahathir mendakwa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya (menantunya Khairy adalah Naib Ketua Pemuda UMNO) sehingga membelakangkan negara. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.

Pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Dr Mahathir dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO.

Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam berkata 'duri dalam daging sudahpun terkeluar' dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu.

Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr. Mahathir bersama-sama isterinya,Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula. Upacara tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya. Bertitik tolak kemasukan inilah UMNO menjadi kuat semula dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang diterajui UMNO semakin dipulihkan.

Untuk rekod, bekas presiden-presiden UMNO terdahulu meninggal dunia selepas melepaskan jawatan presiden di dalam parti UMNO kecuali Tun Abdul Razak, yang meninggal ketika masih menjawat jawatan tersebut.[6]. Dato' Onn Jaafar keluar dari UMNO apabila cadangan beliau untuk menjadikan UMNO parti berbilang bangsa tidak dipersetujui. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pula meninggal dunia selepas melepaskan jawatan di dalam parti UMNO kerana berselisih pendapat dengan Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama lebih 22 tahun.
PENULISAN BLOG

Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1:27 AM, dengan penulisan beliau "The Appointment of Judges". Pada 19 Jun, blog beliau telah berpindah ke laman baru yang lebih dipercayai dan selamat simpanannya. Kini blog beliau terletak di di sini.



Perdana Menteri Kelima

Tun Abdullah Ahmad Badawi
"Bapa Pembangunan Modal Insan"
2003–2009

Yang Amat Berhormat Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir pada 26 November 1939, juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan bekas Presiden UMNO ke-6, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

BIODATA PERIBADI

Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Beliau pada mulanya ingin belajar Ekonomi di Universiti, namun setelah gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak dibenarkan melanjutkan kursus kepujian dalam bidang ekonomi dan memilih untuk belajar Pengajian Islam.

Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.

Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.

Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun menduda, beliau berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.

Beliau dikatakan mementingkan menikmati makan malam bersama keluarga dan gemar makanan Jepun. Sebagai seseorang yang dibesarkan di Pulau Pinang, beliau amat gemar mencuba pelbagai jenis makanan.

Setiap hari, selepas sembahyang Maghrib, beliau akan mengaji Al-Quran. Adalah menjadi kebiasaan beliau menulis nota dalam Jawi. Karangan Shakespeare kegemaran beliau ialah ‘Julius Caesar’. Selain dari keluarga sendiri, tokoh yang banyak mempengaruhinya, yang beliau anggap sebagai mentor ialah Tun Abdul Razak.

Antara peristiwa dunia yang meninggalkan kesan yang mendalam pada diri beliau ialah peristiwa 9/11, yang telah mendorong beliau untuk memperjuangkan fahaman Islam yang sederhana. Beliau juga adalah pencetus Islam Hadhari.

Beliau juga sangat berminat dengan kereta. Malangnya beliau tidak banyak berpeluang memandu kereta sendiri atas sebab-sebab keselamatan. Untuk menghilangkan lelah bekerja, beliau mungkin bermain golf, melakukan senaman atau meluangkan masa bersama cucu-cucunya. Abdullah juga gemarkan pertunjukan muzikal – ‘My Fair Lady’ antara yang paling diminatinya – serta seniman klasik seperti Nat King Cole. Beliau juga mempunyai alat iPod Nano. Beliau menghargai hasil seni Malaysia, dan merupakan seorang pengumpul seni ukiran kayu, serta anyaman rotan.

KERJAYA DAN POLITIK

Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.

Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.

Abdullah dikembalikan jawatannya dalam kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau pernah menjawat jawatan:

- Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80)
- Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81)
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84)
- Menteri Pelajaran (1984-86)
- Menteri Pertahanan (1986-87)
- Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 - Januari 1999).

SEBAGAI TIMBALAN PERDANA MENTERI

Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman Kitab Iban.

Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
SEBAGAI PERDANA MENTERI

Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.

Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia. Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.

Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam. Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.

SEBAGAI PRESIDEN BARISAN NASIONAL

Apabila Tun Dr. Mahathir berundur dari arena politik, beliau telah menggantikan beliau sebagai pucuk pimpinan parti pemerintah, Barisan Nasional.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parlimen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari penjara, bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, memuji Abdullah di khalayak ramai kerana tidak campur tangan sewaktu mahkamah mengubah keputusan tentang sabitan liwatnya.

Selepas kecemerlangan besar dalam penggal pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia apabila menyapu banyak kerusi pada Pilihanraya Umum Malaysia 2004, beliau menerima tamparan dan ujian hebat apabila Barisan Nasional yang diketuainya pada Pilihan raya umum Malaysia 2008 telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan kuasa pemerintahan di 4 buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak kepada parti pembangkang serta sekali lagi gagal merampas balik kuasa di Kelantan dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008.

Oleh ini, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad berpendapat bahawa Abdullah harus mempertimbangkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah kegagalan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya tersebut.

MELEPASKAN JAWATAN PERDANA MENTERI

Abdullah tidak menawarkan diri untuk menjadi calon Presiden pada pemilihan Agung UMNO pada 2009. Ini kerana beliau ingin menyerahkan jawatan tersebut kepada pengganti beliau sebagai Presiden UMNO sekaligus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6.

Modal Insan sentiasa mendapat tempat di hati Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini kerana beliau percaya modal insan merupakan aset terpenting untuk memacu negara ke hadapan. Selain itu pemahaman Islam Hadhari juga menyumbangkan kepada pembangunan modal insan ini. Itulah legasi Abdullah kepada Malaysia selepas mengundurkan diri sebagai pemimpin No. 1 negara. Oleh itu, beliau telah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.


Perdana Menteri Keenam (Sekarang)

Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak
"Bapa Transformasi"[perlu rujukan semula]
2009–kini.


YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak (lahir 23 Julai 1953) adalah Perdana Menteri Malaysia (ke-6) terkini sejak 3 April 2009, selain sebagai Menteri Kewangan dan ahli parlimen Pekan, Pahang. Beliau adalah anak lelaki sulung kepada bekas perdana menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Di peringkat akar umbi politik, beliau merupakan Presiden UMNO yang ke-7. Selain itu, ia masih memiliki darah bangsawan Bugis.

LATAR BELAKANG

Dato' Seri Najib lahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohammad Noah. Pada tahun 1976, Najib berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dan mendapat tiga anak: Mohd Nizar Najib (lahir 1978), Mohd Nazifuddin Najib dan Puteri Norlisa Najib. Pada tahun 1987 beliau bercerai dengan Ku Yie dan berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan mendapat dua anak lagi: Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib. Beliau juga sepupu kepada Datuk Hishamuddin Tun Hussein.

PENDIDIKAN

Najib mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di Worchestershire, England. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974.

POLITIK

Najib mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976. Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong, akibat kematian bapanya, ketika berumur 23 tahun, dan merupakan ahli parlimen termuda yang pernah dipilih ketika itu.

Najib menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika usia 25 tahun. Kemudian, pada tahun 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang dalam kabinet ialah:

1978-1980 - Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos
1980-1981 - Timbalan Menteri Pendidikan
1981-1982 - Timbalan Menteri Kewangan
1982-1986 - Menteri Besar Pahang
1986-1987 - Kementerian Belia dan Sukan|Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan
1990-1995, 1999-2008 - Menteri Pertahanan
1995-1999 - Menteri Pendidikan

Najib juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan (Majuternak) pada tahun 1977-1979. Kepimpinan beliau teruji dan terus diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan negara. Dalam UMNO, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan ahli EXCO Pemuda UMNO pada 1976. Kemudian beliau dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO mulai tahun 1981.

Pada tahun 1982, Najib memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding setelah Datuk Mokhtar Hashim mengosongkan jawatan itu.

Pada 1987, beliau diumumkan sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO oleh Anwar Ibrahim setelah Anwar didesak bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi ketua pada 25 Mei 1988 setelah UMNO ditubuhkan semula. Pada tahun 1993 pula, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, ekoran langkah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau terus mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada tahun 1993, 1996 dan 2000.

Pada 7 Januari 2004, Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Datuk Seri Najib bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional . Beliau telah bertanding di kawasan parlimen Pekan , negeri Pahang. Datuk Seri Najib telah menang dengan mendapat undi sebanyak 36262. Calon lawan ialah Khairul Anuar Bin Ahmad Zainudin dari PKR mendapat 9,798 undi -kalah .

SEMASA MENJAWAT JAWATAN PERDANA MENTERI

Selepas menjawat jawatan perdana menteri Malaysia ke-6 pada 3 April 2009, beliau telah melancarkan kempen Satu Malaysia, sebuah gagasan yang menepati definisi setiap rakyat Malaysia tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang.Beliau memperkenalkan beberapa langkah drastik tetapi populis iaitu dengan menghapuskan dasar (PPSMI) sebagai langkah mendengar keluhan rakyat apabila dasar yang diamalkan sejak 2003 itu mendapat reaksi negatif daripada banyak pihak, dan Biasiswa Nasional di dalam memenuhi keperluan tajaan pendidikan untuk pelajar cemerlang daripada semua kaum.

GAGASAN 1 MALAYSIA

Setelah beliau memegang tampuk Perdana Menteri, beliau telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia yang memupuk perpaduan rakyat di antara kaum. Ia juga dijadikan tema kemerdekaan pada tahun 2009.

Terdapat dakwaan yang menyamakannya dengan Parti politik Gagasan One Israel dan ada juga ura-ura DAP yang cuba mengalihkan perhatian dengan retorik 'Middle Malaysia" yang dikatakan sama seperti 1 Malaysia. Dasar luar era Najib Tun Razak.

Banyak pendapat telah dimajukan oleh pelbagai pihak tentang konsep 1 Malaysia yang telah perkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 3 April yang lalu.

Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Hari ini misi dan visi mulia ini diteruskan pula oleh Najib.

Walaupun matlamatnya adalah murni namun ada pihak berkepentingan yang cuba memutarbelitkan hasrat beliau dengan menyamakan konsep ini dengan konsep Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk orang Malaysia konsep yang menjadi teras perjuangan DAP.

Penyamaan ini telah menimbulkan kegusaran kepada orang Melayu/bumiputera kerana ia satu konsep yang amat sensitif kepada mereka. Sensitiviti terhadap konsep ini terbentuk kerana walaupun konsep Malaysia untuk orang Malaysia ini berbunyi muluk dan bersifat halwa telinga kepada pendengarnya namun ia tidak berpijak di bumi nyata kerana gagal mengambil kira faktor sejarah dan realiti tempatan.

Teras asas konsep ini ialah penolakan kepada sebarang bentuk tindakan afirmatif dan pelaksanaan prinsip meritokrasi sepenuhnya di dalam dasar-dasar negara terutamanya dasar sosioekonomi. Di dalam konteks Malaysia ketiadaan tindakan afirmatif dan pelaksanaan meritokrasi yang tidak mengambil kira realiti ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum akan hanya menghasilkan ketidakadilan serta ketidaksaksamaan yang akhirnya akan mengakibatkan diskriminasi minoriti ke atas majoriti.

Konsep 1 Malaysia berbeza dari Malaysian Malaysia kerana konsep ini bertunjangkan kepada realiti tempatan dan sejarah negara. Memahami dan menghayati sejarah amat penting kerana seperti mana kata seorang Ahli Falsafah Amerika berketurunan Sepanyol George Santayana, "Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah mengulanginya". Jika kita mengikuti ucapan Najib semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini kita akan mendapati beliau sebenarnya telah pun membezakan antara kedua-dua konsep ini apabila memperincikan tiga teras utama konsep 1 Malaysia iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.

Teras pertama 1 Malaysia yang beliau nyatakan ialah mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Transformasi dari toleransi kepada penerimaan ini amat penting kerana untuk Malaysia mencapai kemakmuran dan keharmonian ia memerlukan iltizam rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ini termasuklah bagi merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi serta bebas kemiskinan.

Untuk negara terus berada di hadapan keluk kejayaan semua rakyat Malaysia perlu terus membina di atas persamaan yang ada dan pada masa yang sama berlapang dada menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain tanpa bersikap menghakimi atau menilai. Kita perlu meraikan perbezaan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya terperangkap dengan polemik yang berpunca dari perkara titik bengik sehingga melupakan matlamat besar bersama.


Maaf Jika Ada Kekurangan / Kesalahan , Copy-Cat Dari : wikipedia bahasa melayu.

0 comments:

Post a comment

KERATAN NOTIS

1. Sila Komen Dalam Bahasa Melayu / Ingelish Yang Mudah Difahami

2. Tinggalkan Alamat Blog / Email Jika Perlu

SEGALA KOMEN YANG DITULIS ATAS TANGGUNGJAWAB ANDA SENDIRI. PEMILIK AJTR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEBARANG KOMEN YANG DITULIS OLEH PEMBACA DI AJTR INI.