Suku Kaum Rungus yang lebih dikenali sebagai Momogun Rungus ini tertumpu di kawasan Kudat. Mereka mendiami bahagian selatan Bahagian Kudat dan wilayah tengah Melabong, Kudat, Sabah. Kudat berkhidmat sebagai pusat pentadbiran untuk bahagian Kudat, yang termasuk bandar-bandar Kudat, Pitas, Kota Marudu, dan beberapa pulau luar pesisir.
Bahagian Kudat mempunyai tiga daerah iaitu Kudat, Pitas dan Kota Marudu. Jumlah penduduk Daerah Kudat pada tahun 2000 adalah 68,242 (Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000). Daripada jumlah ini, seramai 65 peratus adalah orang Rungus, dan selebihnya iaitu 35 peratus terdiri daripada Orang Sungai, Bajau, Suluk, Bugis, Banggi, Obian dan Cina. Ini bermakna populasi orang Rungus berada di daerah ini dengan jumlah seramai 44,358 orang mengikut bancian yang dilakukan pada tahun 2000.
Daerah Kudat dianggap sebagai petempatan asal orang Rungus, khususnya di daerah kecilnya yang bernama Matunggong. Di sekitar daerah kecil Matunggong, komuniti Rungus lebih cenderung untuk melihat diri sebagai Momogun (Ong 1994: 153),iaitu orang tanah sini, atau orang tempatan.
Suku kaum Rungus tinggal di rumah panjang yang disebut sebagai vinatang dalam bahasa Rungus. Vinatang ini adalah satu kebanggaan bagi suku kaum Rungus kerana ia menggambarkan ciri-ciri unik yang ada pada bangsa mereka. Rumah panjang ini, yang lazimnya sepanjang 300 kaki panjang, biasanya dibina atas bukit dan dinaikkan. Ruang bawah rumah panjang ini digunakan untuk memelihara binatang seperti ayam,babi, dan kerbau selain berfungsi sebagai tugu kepada serangan luar.
Menurut Rutter (1929: 62), di kawasan pergunungan atau pedalaman Borneo, kampung penduduk peribumi diwakili oleh rumah panjang yang berfungsi sebagai tugu melindungi penghuni-penghuninya. Kampung peribumi ini bersifat cukup-diri, lengkap diri, berdikari serta bebas daripada dunia luar.
Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) Institut Linguistik S.I.L melaporkan bahasa Rungus dipercayai termasuk dalam bahasa Austronesian keturunan Bornean dari keturunan asal Austronesian.Momogun Rungus kadang-kadang dipanggil sebagai "Momogun", "Dusun Dayak", Melobong Rungus", "Memagun" atau "Memogun" kadang-kadang juga di panggil sebagai "Roongas", "Rungus", "Rungas" dan "Dusun Laut". Semuanya merujuk kepada bangsa Momogun Rungus.
Asal perkataan Momogun di percayai dari segi kepercayaan Agama Labus (pagan) iaitu dari perkataan "PENDUDUK ASAL POGUN NABALU".Momogun diambil dari perkataan POGUN (Dunia). Rungus pula diperolehi sempena nama Aki Rungsud yang mengetuai Pompod Tana setelah diarah oleh Aki Nunuk Ragang.
Menurut mitos Agama Labus Momogun adalah hasil perkataan dari pekerjaan Kinoringan (Allah Pencipta). Ini kerana Kinoringan menaburkan bangsa Momogun di sekitar Gunung Kinabalu (Pampang Nabalu) dengan perkataan yang digunakan "NIASOK". Momogun adalah Asok pertama dan tiada lagi Asok yang lain selain MOMOGUN. Asok bermakna "menabur benih". Menurut kepercayaan itu Momogun adalah Sakag(benih tani) yang ditaburkan seumpama benih pertanian Tuhan sendiri.
Pasok Momogun bermakna "benih atau zuriat tetap bumi di bawah Gunung Kinabalu". Jika orang Momogun menanam padi di ladang mereka menyebutkannya sebagai "MANGASOK". Pasok Momogun merujuk kepada kepercayaan mereka dalam Agama Labus bahawa KINORINGAN sebagai pencipta segalanya di alam semesta dan "Zuriat pertama atau bangsa pertama yang direncanakan oleh Tuhan Pencipta" bagi menghuni kawasan Gunung Kinabalu sehingga ke pesisir pantai adalah Bangsa Momogun.
Momogun adalah satu perkataan yang membawa makna mempunyai kuasa ke atas tanah atau dunia yang Kinoringan mereka berikan pada bangsa mereka. Mereka menganalogikan pekerjaan Kinoringan seperti menabur benih maka jadilah perkataan "PASOK MOMOGUN RUNGUS".
No comments:
Post a Comment
KERATAN NOTIS
1. Sila Komen Dalam Bahasa Melayu / Ingelish Yang Mudah Difahami
2. Tinggalkan Alamat Blog / Email Jika Perlu
SEGALA KOMEN YANG DITULIS ATAS TANGGUNGJAWAB ANDA SENDIRI. PEMILIK AJTR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEBARANG KOMEN YANG DITULIS OLEH PEMBACA DI AJTR INI.